Kerjaya Formula Satu Michael_Schumacher

Sepanjang kerjayanya, Schumacher terkenal kerana berupaya untuk menghasilkan masa pusingan yang pantas pada detik-detik penting dalam sebuah perlumbaan.[14] Schumacher juga terkenal dengan prestasi hebatnya dalam perlumbaan yang diadakan dalam keadaan hujan. Sehingga akhir musim 2003, Schumacher memenangi 17 daripada 30 perlumbaan dalam keadaan hujan.[15] Oleh itu, beliau diberikan nama samaran seperti "Regenkönig" (raja hujan)[16] atau "Regenmeister" (master hujan)[14], walaupun bukan dalam media Bahasa Jerman. Dalam sebuah tinjauan yang dijalankan oleh FIA pada tahun 2006, Schumacher telah diundi sebagai pemandu yang paling popular pada musim ini di kalangan peminat Formula Satu.[17]

Penampilan sulung bersama Jordan

Schumacher memandu uji untuk Jordan.

Schumacher membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu dengan pasukan Jordan-Ford di Grand Prix Belgium 1991, dengan memandu kereta nombor 32 sebagai pengganti untuk Bertrand Gachot, yang dipenjarakan. Schumacher, yang masih merupakan seorang pemandu Mercedes, telah ditandatangani oleh Eddie Jordan selepas Mercedes membayar Jordan sebanyak $150,000 untuk membuat penampilan sulungnya[18] Seminggu sebelum perlumbaan tersebut, Schumacher membuat Gary Anderson kagum, iaitu pereka kereta Jordan, dan pengurus pasukan, Trevor Foster, semasa memandu uji di Silverstone. Willi Weber, iaitu pengurus Schumacher, memberi jaminan kepada Jordan bahawa Schumacher tahu akan litar Spa yang mencabar itu, walaupun pada hakikatnya beliau hanya pernah melihat litar tersebut sebagai seorang penonton sahaja. Pada hujung minggu perlumbaan, rakan sepasukan, Andrea de Cesaris sepatutnya menunjukkan ajar Schumacher tentang litar Spa itu tetapi telah dihalang disebabkan oleh sebuah rundingan kontrak. Schumacher kemudiannya mempelajari litar itu sendiri, dengan berbasikal di sekitar litar tersebut dengan basikal yang dibawanya sendiri.[19] Schumacher mengagumkan semua orang di padok dengan mendapat tempat ketujuh pada pusingan kelayakan. Schumacher bersara pada pusingan pertama selepas mengalami masalah klac.[20]

Benetton (1991-1995)

Schumacher memandu untuk Benetton di Grand Prix Monaco 1992

Selepas membuat penampilan sulungnya, dan walaupun Jordan menandatangani perjanjian dengan pengurusan Schumacher di Mercedes untuk berlumba dalam baki perlumbaan pada musim ini, Schumacher telah ditandatangani oleh Benetton-Ford untuk perlumbaan berikutnya. Jordan memohon injunksi di mahkamah UK untuk menghalang Schumacher untuk memandu bersama Benetton, tetapi kalah dalam kes tersebut kerana mereka masih belum menandatangani kontrak.[21] Schumacher menamatkan musim 1991 dengan empat mata daripada enam perlumbaan. Keputusan terbaiknya ialah kelima pada perlumbaan kedua, Grand Prix Itali, di mana beliau menamatkan perlumbaan di hadapan rakan sepasukan dan Juara Dunia sebanyak tiga kali, Nelson Piquet.

Pada permulaan musim 1992, pasukan Sauber, yang merancang untuk membuat penampilan sulung mereka dalam Formula Satu dengan sokongan Mercedes pada tahun berikutnya, mahukan Schumacher menjadi pemandu mereka jika Mercedes berjaya memasuki Formula Satu. Ia kemudiannya disahkan bahawa Schumacher akan kekal bersama Benetton, Peter Sauber berkata bahawa "[Schumacher] tidak mahu memandu bersama kami. Mengapa saya mahu memaksanya?".[22] Tahun ini telah dikuasai oleh pemandu Williams, iaitu Nigel Mansell dan Riccardo Patrese, yang menggunakan enjin Renault yang berkuasa, kotak gear semi-automatik dan ampaian aktif.[23] Dalam Benetton B192 yang "konvensional", Schumacher mendapat podium pertamanya selepas mendapat tempat ketiga di Grand Prix Mexico. Beliau kemudiannya memenangi perlumbaan pertamanya di Grand Prix Belgium. Beliau mendapat tempat ketiga dalam Kejuaraan Pemandu pada tahun 1992 dengan 53 mata, tiga mata di belakang naib juara, Patrese.

Pemandu Williams, Damon Hill dan Alain Prost juga menguasai musim 1993. Benetton memperkenalkan sistem ampaian aktif dan kawalan cengkaman mereka sendiri pada awal musim ini, dan merupakan pasukan hadapan yang terakhir untuk berbuat demikian.[24]. Schumacher memenangi satu perlumbaan, iaitu Grand Prix Portugal, di mana beliau menewaskan Prost, dan mendapat sembilan podium, tetapi bersara dalam tujuh perlumbaan. Beliau menamatkan musim di tempat keempat, dengan 52 mata.

1994–1995: Tahun Kejuaraan Dunia

Schumacher memandu Benetton B194 untuk memenangi Kejuaraan Dunia pertamanya pada tahun 1994.Schumacher memandu untuk Benetton di Grand Prix British 1995

1994 adalah tahun di mana Schumacher memenangi Kejuaraan Dunia pertamanya. Musim ini, bagaimanapun, telah diselubungi oleh kematian Ayrton Senna (disaksikan oleh Schumacher yang berada di belakang Senna, di tempat kedua) dan Roland Ratzenberger di Grand Prix San Marino, dan dengan tuduhan menipu oleh beberapa pasukan, tetapi yang paling utamanya ialah pasukan Schumacher, iaitu Benetton, yang melanggar peraturan teknikal sukan itu.[25][26]

Schumacher memenangi enam daripada tujuh perlumbaan pertama dan mendahului Grand Prix Sepanyol, sebelum mengalami kegagalan kotak gear, yang memaksanya untuk menggunakan gear kelima untuk sepanjang perlumbaan. Schumacher menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua.[27] Berikutan Grand Prix San Marino, di mana pasukan Benetton, Ferrari dan McLaren telah disiasat kerana disyaki melanggar larangan yang dikenakan oleh FIA tentang alat elektronik. Benetton dan McLaren pada mulanya enggan menyerahkan kod sumber mereka untuk siasatan. Apabila mereka berbuat demikian, FIA mendapati bahawa terdapat fungsi tersembunyi dalam perisian kedua-dua pasukan, tetapi tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia telah digunakan dalam perlumbaan. Kedua-dua pasukan telah didenda sebanyak $100,000 kerana enggan bekerjasama pada awalnya. Walau bagaimanapun, perisian McLaren, yang merupakan satu program yang membolehkan gear ditukar secara automatik, dianggap sah. Sebaliknya, perisian Benetton, yang merupakan satu sistem "kawalan pelancaran" yang membolehkan Schumacher memulakan perlumbaan bermula dengan sempurna, secara jelasnya telah diharamkan oleh FIA. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa perisian ini sebenarnya digunakan.[28] Di Grand Prix British, Schumacher diberikan penalti kerana memotong pada pusingan pemanasan. Beliau kemudiannya mengabaikan penalti tersebut dan diberikan bendera hitam, yang menunjukkan bahawa pemandu mesti segera kembali ke kotak pit mereka masing-masing, yang mana beliau disingkirkan dan kemudiannya digantung dua buah perlumbaan. Benetton menyalahkan kejadian tersebut atas kesilapan komunikasi antara steward dan pasukan.[29] Selepas Schumacher memenangi Grand Prix Belgium, beliau sekali lagi disingkirkan daripada perlumbaan tersebut kerana keretanya didapati menggunakan skidblock, di mana ia digunakan untuk meningkatkan kelajuan kereta di selekoh.[30] Kejadian-kejadian ini membantu Damon Hill merapatkan jurang mata, dan Schumacher mendahului kejuaraan dengan satu mata ketika memasuki perlumbaan terakhir di Australia. Pada pusingan ke-36, Schumacher melanggar rel penghadang yang berada di luar kawasan litar ketika mendahului perlumbaan. Hill cuba untuk memintasnya tetapi ketika kereta Schumacher kembali ke litar, mereka berdua berlanggar dan menyebabkan kedua-dua mereka untuk bersara.[31] Dengan kejadian ini, Schumacher memenangi kejuaraan dunia tahun tersebut dalam keadaan yang penuh kontroversi, dan Schumacher merupakan pemandu Jerman yang pertama untuk berbuat demikian (Jochen Rindt berlumba di bawah Bendera Austria).

Pada tahun 1995, Schumacher berjaya mempertahankan gelarannya dengan Benetton. Beliau kini mempunyai enjin Renault yang sama seperti yang digunakan oleh Williams. Beliau mengumpul 33 mata lebih daripada naib juara, Damon Hill. Dengan hasil usaha rakan sepasukan, Johnny Herbert, Benetton memenangi Kejuaraan Pengeluar mereka yang pertama dan Schumacher menjadi juara dunia berganda yang termuda dalam sejarah Formula Satu.

Musim ini telah dicemari oleh beberapa insiden bersama Hill. Ketika Hill cuba memintas Schumacher di Grand Prix British, beliau berlanggar dengan Schumacher dan menyebabkan mereka berdua untuk bersara.[32] Mereka berdua berlanggar sekali lagi pada pusingan ke-23 di Grand Prix Itali.[33] Schumacher memenangi sembilan daripada 17 perlumbaan pada musim ini, dan mendapat sebelas podium.

Ferrari (1996–2006)

Pada tahun 1996, Schumacher menyertai Ferrari, iaitu pasukan yang memenangi Kejuaraan Dunia terakhir mereka pada tahun 1979 dan Kejuaraan Pengeluar pada tahun 1983, dengan gaji sebanyak $60 juta dalam tempoh dua tahun. Beliau meninggalkan Benetton setahun sebelum kontraknya bersama mereka tamat. Schumacher mengatakan bahawa tindakan yang merosakkan nama pasukan tersebut pada tahun 1994 menyebabkannya memilih untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut.[34] Setahun kemudian, bekas pekerja Benetton, Rory Byrne dan Ross Brawn, yang pernah menjadi Pengarah Teknikal di Benetton sejak tahun 1991,[35] dan juga merupakan salah seorang ahli utama di sebalik kejayaan Schumacher dengan pasukan tersebut pada tahun 1994 dan 1995, memutuskan untuk menyertai Schumacher di Ferrari. Ini meningkat motivasi Schumacher untuk membina satu pasukan yang lebih berpengalaman dan berpotensi untuk memenangi kejuaraan dunia.

Ferrari, sebelum ini hampir memenangi kejuaraan dunia pada tahun 1982 dan 1990. Prestasi Ferrari mula menurun pada awal tahun 1990-an, sebahagiannya disebabkan oleh enjin V12 mereka yang terkenal kerana ia tidak lagi berdaya saing dengan enjin V10 yang lebih kecil, cekap, dan lebih menjimatkan bahan api daripada pesaingnya. Pelbagai pemandu, terutamanya Alain Prost, mengatakan bahawa kereta mereka adalah seperti "lori", "khinzir", dan ialah "sebuah kemalangan yang bakal berlaku".[36] Prestasi krew pit Ferrari juga dianggap sebagai satu jenaka pada masa itu.[37] Schumacher mengisytiharkan bahawa kereta Ferrari 412T adalah cukup baik untuk memenangi Kejuaraan.

Schumacher, Ross Brawn, Rory Byrne, dan Jean Todt (diambil bekerja pada tahun 1993), telah menerima kredit untuk menjadikan pasukan Ferrari, yang dahulunya merupakan pasukan yang bergelut untuk berjaya, dan kemudiannya menjadikannya sebagai pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Formula Satu.[38][39] Juara Dunia sebanyak tiga kali, Jackie Stewart, percaya bahawa transformasi pasukan Ferrari itu merupakan kejuaraan Schumacher yang terbesar.[40] Eddie Irvine juga menyertai pasukan ini, setelah bersaing untuk pasukan Jordan selama tiga tahun.

1996–1999

"Ia bukan sebuah perlumbaan. Ia sebuah demonstrasi kecemerlangan."

Schumacher mendapat tempat ketiga dalam kejuaraan pemandu pada tahun 1996 dan membantu Ferrari untuk tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar, di hadapan pasukan lamanya, Benetton. Beliau memenangi tiga buah perlumbaan pada musim ini. Pada bahagian awal musim 1996, keretanya mengalami masalah kebolehpercayaan dan Schumacher gagal untuk menamatkan enam daripada 16 buah perlumbaan yang dipertandingkan pada musim ini. Beliau mendapat kemenangan pertamanya untuk Ferrari di Grand Prix Sepanyol.[12] Di Grand Prix Perancis, Schumacher mendapat petak pertama, tetapi mengalami kegagalan enjin pada pusingan formasi.[42] Walau bagaimanapun di Spa-Francorchamps, Schumacher memenangi perlumbaan keduanya untuk Ferrari dengan menamatkan perlumbaan di hadapan pemandu Williams, Jacques Villeneuve. Berikutan perlumbaan itu, di Monza, Schumacher memenangi perlumbaan tersebut di hadapan tifosi.

Schumacher mendapat tempat kedua di Grand Prix Jerman 1997.Schumacher bertarung dengan David Coulthard di Grand Prix British 1998.

Michael Schumacher dan Jacques Villeneuve bersaing untuk kejuaraan dunia pada tahun 1997. Villeneuve, yang memandu Williams FW19 yang unggul, mendahului kejuaraan pada bahagian awal musim ini.[43] Walau bagaimanapun pada pertengahan musim, Schumacher mendahului kejuaraan, memenangi lima buah perlumbaan, dan memasuki Grand Prix terakhir pada musim ini dengan kelebihan satu mata. Menjelang akhir perlumbaan tersebut yang diadakan di Jerez, kereta Schumacher mengalami kebocoran penyejuk dan mungkin tidak dapat menamatkan perlumbaan. Ketika Villeneuve mendekati Schumacher untuk memintasnya, Schumacher cuba untuk menyebabkan sebuah kemalangan[44] tetapi Schumacher sendiri yang bersara daripada perlumbaan tersebut. Villeneuve akhirnya mengutip empat mata untuk memenangi kejuaraan tahun tersebut. Schumacher pula dihukum kerana berkelakuan tidak mempunyai semangat kesukanan kerana menyebabkan perlanggaran dan disingkirkan daripada Kejuaraan Pemandu Dunia tahun tersebut.[45]

Pada tahun 1998, pemandu Finland, Mika Häkkinen, menjadi pesaing utama Schumacher. Häkkinen memenangi dua perlumbaan pertama musim ini, dan mempunyai kelebihan 16 mata ke atas Schumacher. Schumacher kemudiannya menang di Argentina, dan prestasi Ferrari meningkatkan dengan ketara pada separuh musim kedua ini. Schumacher memenangi enam buah perlumbaan dan mempunyai lima podium. Ferrari mendapat keputusan 1-2 di Grand Prix Perancis, dan ia merupakan keputusan 1-2 Ferrari yang pertama sejak tahun 1990. Ferrari mengulangi keputusan ini di Grand Prix Itali, yang menyamakan mata Schumacher dan Häkkinen dalam Kejuaraan Pemandu dengan 80 mata, tetapi Häkkinen memenangi kejuaraan tersebut dengan memenangi perlumbaan kedua-dua perlumbaan terakhir musim ini.

Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Coulthard berkemungkinan akan digantikan oleh Schumacher untuk musim 1999 dan seterusnya, dan dalam edisi yang sebelumnya dalam majalah F1 Racing, Ron Dennis mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Schumacher untuk menandatangani perjanjian bersama McLaren. Walau bagaimanapun, isu-isu kewangan yang terikat dengan Schumacher bersama pasukan Ferrari, seperti perjanjian penajaan dan pembayaran, tidak boleh diperbetulkan dalam usaha untuk dengan menyertai pasukan lawan dan perjanjian tersebut tidak membuahkan sebarang hasil.

Usaha Schumacher untuk membantu Ferrari memenangi gelaran Pengeluar berjaya pada tahun 1999. Namun begitu, keinginan Schumacher untuk memenangi Kejuaraan Pemandu berkecai di Grand Prix British selepas mengalami kemalangan yang serius. Brek belakang keretanya gagal berfungsi, dan menyebabkan beliau terbabas dan mengakibatkan kakinya patah.[46] Selepas insiden ini, beliau telah digantikan oleh pemandu Finland, Mika Salo. Selepas tidak bertanding dalam enam buah perlumbaan, beliau kembali untuk bersaing di Grand Prix Malaysia yang sulung, dengan mendapat petak pertama. Beliau kemudiannya memainkan peranan sebagai pemandu kedua, dan membantu rakan sepasukan, Eddie Irvine untuk memenangi Kejuaraan untuk Ferrari.[47] Pada perlumbaan terakhir musim ini iaitu di Grand Prix Jepun, Häkkinen memenangi gelaran keduanya berturut-turut. Schumacher kemudiannya mengatakan bahawa Häkkinen adalah pesaing yang beliau paling hormati.[48]

2000–2004: Tahun Kejuaraan Dunia

Schumacher di Grand Prix Kanada 2001Schumacher memandu untuk Scuderia Ferrari Marlboro di Grand Prix Perancis 2002, di mana beliau merangkul Kejuaraan Pemandu Dunia kelimanya

Dalam tempoh ini, Schumacher memenangi lebih banyak perlumbaan dan kejuaraan daripada mana-mana pemandu lain dalam sejarah sukan itu. Schumacher memenangi Kejuaraan Dunia ketiganya pada tahun 2000 selepas bertarung dengan Häkkinen. Schumacher memenangi tiga perlumbaan pertama musim ini dan lima daripada lapan perlumbaan pertama. Pada pertengahan musim ini, Schumacher gagal menamatkan empat perlumbaan, dan membenarkan Häkkinen untuk merapatkan jurang mata. Häkkinen kemudiannya memenangi dua lagi perlumbaan, sebelum Schumacher menang di Grand Prix Itali. Pada sidang akhbar selepas perlumbaan, selepas menyamai bilangan kemenangan (41) yang dimenangi oleh Ayrton Senna, Schumacher menitiskan air mata.[49] Pertarungan kejuaraan pemandu dibawa ke perlumbaan kedua terakhir musim di Grand Prix Jepun. Selepas bermula dari petak pertama, Schumacher dipintas oleh Häkkinen pada permulaan perlumbaan. Selepas perhentian pit yang kedua, bagaimanapun, Schumacher keluar di hadapan Häkkinen dan memenangi perlumbaan dan kejuaraan tersebut.

Pada tahun 2001, Schumacher memenangi gelaran pemandu keempatnya. Schumacher memenangi sembilan perlumbaan dan memenangi kejuaraan dunia tahun tersebut dengan baki empat perlumbaan. Beliau menamatkan musim dengan 123 mata, 58 di hadapan naib juara, Coulthard. Di Grand Prix Kanada, Schumacher mendapat tempat kedua, manakala adiknya, Ralf, memenangi perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Belgium, Schumacher memenangi perlumbaan ke-52 dalam kerjayanya, dan memecahkan rekod Alain Prost untuk kemenangan kerjaya yang terbanyak.[50]

Pada tahun 2002, Schumacher menggunakan Ferrari F2002 untuk mempertahankan kejuaraan pemandunya. Sekali lagi, terdapat beberapa kontroversi melibatkan Schumacher. Di Grand Prix Austria, ketika rakan sepasukannya, Rubens Barrichello, mendahului perlumbaan, Barrichello diarahkan untuk memperlahankan keretanya untuk membolehkan Schumacher memenangi perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Amerika Syarikat lewat tahun tersebut, Schumacher menguasai perlumbaan dan ingin menamatkan perlumbaan tersebut sebaris bersama Barrichello. Namun, Barrichello memenangi perlumbaan tersebut dengan jurang hanya 0.011 saat di hadapan Schumacher. Selepas memenangi Kejuaraan Pemandu, Schumacher menyamai rekod yang ditetapkan oleh Juan Manuel Fangio, yang memenangi lima kejuaraan dunia. Ferrari memenangi 15 daripada 17 perlumbaan, dan Schumacher memenangi gelaran tersebut dengan baki enam perlumbaan. Schumacher juga menamatkan setiap perlumbaan di atas podium. Beliau menamatkan musim dengan 144 mata, 67 mata di hadapan naib juara dan rakan sepasukannya, Rubens Barrichello. Schumacher dan Barrichello menamatkan 9 daripada 17 perlumbaan di tempat 1-2.

Schumacher di Indianapolis pada tahun 2004, di mana beliau memenangi Grand Prix Amerika Syarikat 2004

Schumacher memecahkan rekod lima Kejuaraan Pemandu Dunia kepunyaan Juan Manuel Fangio dengan memenangi gelaran pemandu dunia buat kali keenam pada tahun 2003 Persaingan terbesar Schumacher datang sekali lagi dari pasukan McLaren Mercedes dan Williams BMW. Pada perlumbaan pembuka tirai, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas membuat kesilapan, dan pada dua perlumbaan berikutnya, beliau terlibat dalam perlanggaran.[51] Beliau jatuh 16 mata di belakang Kimi Räikkönen. Schumacher memenangi Grand Prix San Marino dan dua perlumbaan seterusnya, dan merapatkan jurang mata kepada Räikkönen. Selain daripada kemenangan Schumacher di Kanada, dan kemenangan Barrichello di Britain, pertengahan musim ini telah dikuasai oleh pemandu Williams, iaitu Ralf Schumacher dan Juan Pablo Montoya, yang masing-masing memenangi dua buah perlumbaan. Selepas Grand Prix Hungary, Schumacher mendahului kejuaraan dunia dengan hanya satu mata di hadapan pesaing utama, Räikkönen dan Montoya. Menjelang perlumbaan seterusnya, FIA mengumumkan perubahan kepada kelebaran tayar. Ini memaksa Michelin, iaitu pembekal tayar untuk pasukan Williams dan McLaren, perlu mereka bentuk semula tayar mereka dengan pantas sebelum Grand Prix Itali.[52] Schumacher, yang berlumba menggunakan tayar Bridgestone, memenangi dua perlumbaan seterusnya. Selepas Montoya telah diberikan penalti di Grand Prix Amerika Syarikat, hanya Schumacher dan Räikkönen yang boleh memenangi kejuaraan tahun tersebut. Pada perlumbaan terakhir musim ini di Grand Prix Jepun, Schumacher hanya memerlukan satu mata, manakala Räikkönen perlu memenangi perlumbaan ini untuk memenangi Kejuaraan Dunia Pemandu pertamanya. Selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, Schumacher mendapat satu mata dan memenangi gelaran Pemandu Dunia keenamnya, dan menamatkan musim ini dengan dua mata di hadapan Räikkönen.

Pada tahun 2004, Schumacher memenangi 12 daripada 13 perlumbaan pertama musim ini, dan hanya gagal untuk menamatkan perlumbaan di Monaco selepas mengalami kemalangan dengan Juan Pablo Montoya. Beliau meraih gelaran pemandu ketujuhnya di Grand Prix Belgium. Beliau menamatkan musim dengan 148 mata, 34 mata di hadapan naib juara dan rakan sepasukan, Rubens Barrichello, dan menetapkan rekod baru dengan memenangi 13 daripada 18 perlumbaan, serta memecahkan rekod yang ditetapkan olehnya sendiri pada tahun 2002, di mana beliau memenangi sebelas perlumbaan.[53]

2005–2006

Schumacher mengejar Kimi Räikkönen di Grand Prix Kanada 2005Schumacher pada tahun 2005

Perubahan peraturan pada tahun 2005 memerlukan sebuah set tayar perlu bertahan sepanjang satu perlumbaan,[54] dan ini menyebabkan pasukan yang menggunakan tayar Michelin mempunyai kelebihan ke atas pasukan seperti Ferrari yang menggunakan tayar Bridgestone.[55] Perubahan ini dibuat untuk menjejaskan prestasi Ferrari yang hebat dan menjadikan siri ini lebih menarik.[37]Ini amat ketara pada awal musim bagi Schumacher selepas bertarung dengan Fernando Alonso di San Marino, di mana Schumacher bermula dari tempat ke-13 dan menamatkan perlumbaan 0.2 saat di belakang pemandu Sepanyol tersebut. Schumacher hanya memenangi satu perlumbaan pada musim 2005, iaitu di Grand Prix Amerika Syarikat yang penuh berkontroversi. Sebelum perlumbaan itu bermula, pasukan yang menggunakan tayar Michelin ditarik keluar daripada perlumbaan disebabkan isu keselamatan. Apabila tiada kompromi di antara pasukan dan FIA boleh dicapai, hanya enam pemandu yang menggunakan tayar Bridgestone dibenarkan memulakan perlumbaan.[56] Schumacher bersara enam kali pada musim ini. Beliau menamatkan musim di tempat ketiga dengan 62 mata.

Schumacher memintas Kimi Räikkönen untuk tempat keempat dengan baki tiga pusingan di Grand Prix Brazil 2006

2006 merupakan musim terakhir Schumacher bersama Ferrari. Selepas tiga perlumbaan, Schumacher hanya mendapat sebelas mata. Beliau memenangi dua perlumbaan berikutnya. Selepas mendapat petak pertama di San Marino, Schumacher memecahkan rekod berusia 12 tahun kepunyaan Ayrton Senna.

Schumacher dilucutkan dari petak pertamanya di Grand Prix Monaco dan memulakan perlumbaan dari belakang petak permulaan. Beliau dikenakan penalti ini selepas menghentikan keretanya dan menghalang pemandu lain daripada mencapai kelajuan maksimum bagi mencatatkan masa pusingan terpantas pada sesi itu. Pada perlumbaan tersebut, beliau menamatkan perlumbaan di tempat kelima di litar Monaco yang sempit itu. Menjelang Grand Prix Kanada, iaitu perlumbaan kesembilan musim ini, Schumacher berada 25 mata di belakang Alonso, namun Schumacher memenangi tiga perlumbaan berikutnya untuk mengurangkan jurang mata tersebut. Kemenangan Schumacher di Hockenheim merupakan kemenangan Grand Prix tanah airnya yang terakhir. Selepas kemenangannya di Itali (di mana Alonso bersara selepas mengalami kegagalan enjin)[57] dan China, di mana Alonso mempunyai masalah tayar,[58] Schumacher mendahului kejuaraan pemandu buat kali pertama pada musim ini. Walaupun beliau dan Alonso mempunyai jumlah mata yang sama, Schumacher berada di hadapan kerana beliau memenangi lebih banyak perlumbaan.

Schumacher mendahului Grand Prix Jepun dengan baki 16 pusingan, namun untuk pertama kalinya sejak Grand Prix Perancis 2000, kereta Schumacher mengalami kegagalan enjin. Alonso memenangi perlumbaan ini, dan memberikan dirinya kelebihan sepuluh mata kejuaraan. Dengan baki satu perlumbaan, Schumacher hanya boleh memenangi kejuaraan pemandu jika beliau memenangi perlumbaan terakhir musim dan Alonso gagal memperoleh sebarang mata.

Sebelum Grand Prix Brazil, Schumacher mengakui bahawa kejuaraan tersebut akan jatuh kepada Alonso.[59] Sebelum perlumbaan tersebut, legenda bola sepak, Pelé, menyampaikan trofi penghargaan kepada Schumacher.[60] Pada sesi kelayakan untuk perlumbaan tersebut, Schumacher mencatatkan masa yang baik pada sesi pertama dan terpantas pada sesi kedua; tetapi masalah tekanan bahan api menghalangnya untuk melengkapkan masa pusingan pada sesi ketiga, dan memaksanya memulakan perlumbaan di tempat kesepuluh.[61] Pada awal perlumbaan, Schumacher memintas beberapa buah kereta lain dan berada di tempat keenam. Walau bagaimanapun, ketika Schumacher cuba memotong rakan sepasukan Alonso, Giancarlo Fisichella, tayar Schumacher mengalami kebocoran selepas melanggar sayap depan kereta Fisichella.[62] Schumacher memasuki pit dan jatuh ke tempat ke-19, dan berada 70 saat di belakang rakan sepasukan dan pendahulu perlumbaan, Felipe Massa. Schumacher bangkit kembali dan memintas kedua-dua Fisichella dan Räikkönen untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

2007–2009: Persaraan pertama

BMW Sauber dengan mesej "Thanks Michael" (Terima Kasih Michael) pada belakang kereta mereka.

Apabila Schumacher berada di atas podium selepas memenangi Grand Prix Itali 2006, Ferrari telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang menyatakan bahawa beliau akan bersara daripada sukan permotoran pada akhir musim 2006.[63] Schumacher kemudiannya mengesahkan persaraannya. Kenyataan akhbar menyatakan bahawa Schumacher akan terus bekerja untuk Ferrari. Ia telah diumumkan pada 29 Oktober 2006, bahawa Ferrari mahukan Schumacher menjadi pembantu kepada Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik, Jean Todt.[64] Ini akan melibatkan pemilihan pemandu pasukan masa hadapan. Selepas pengumuman Schumacher itu, tokoh-tokoh Formula Satu seperti Niki Lauda dan David Coulthard, memuji Schumacher sebagai pemandu serba boleh yang terbaik dalam sejarah Formula Satu.[65]

2007: Penasihat di Ferrari

Beliau menghadiri beberapa Grand Prix pada musim 2007. Schumacher memandu kereta Ferrari F2007 buat kali pertama pada 24 Oktober di Fiorano, Itali. Beliau melakukan tidak lebih daripada lima pusingan dan tiada masa pusingan telah direkodkan. Seorang jurucakap Ferrari berkata bahawa ia dilakukan untuk lembaga pengarah Fiat yang telah mengadakan mesyuarat mereka di Maranello.[66]

Schumacher pada perayaan Finali Mondiali di dalam F2007.

Semasa musim 2007, Schumacher menjadi penasihat Ferrari dan Jean Todt menjadi 'pembantu super' Schumacher.[67] Pada 13 November 2007, Schumacher, yang tidak pernah memandu kereta Formula Satu sejak bersara lebih setahun sebelumnya, telah menjalani satu sesi ujian rasmi dalam F2007. Beliau kembali pada bulan Disember 2007 untuk terus membantu Ferrari dengan program pembangunan mereka di Litar Jerez. Beliau memberi tumpuan kepada ujian elektronik dan tayar bagi musim 2008.

2008: Pembangunan kereta

Pada tahun 2007, bekas pengurus tertinggi Ferrari, Ross Brawn, berkata bahawa Schumacher sangat gembira untuk meneruskan tugas ujian pada tahun 2008. Michael Schumacher pula berkata bahawa "Saya ingin memandu, tetapi bukan terlalu kerap.".[68]

Pada tahun 2008 juga, Schumacher bersaing dalam perlumbaan motosikal dalam siri IDM Superbike, tetapi menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk menjadikan itu sebagai kerjaya keduanya.[69] Beliau berkata bahawa menunggang motosikal Ducati ialah perkara yang paling menyeronokkan yang pernah dilakukan dalam hidupnya.

2009: Pengganti bagi Massa yang cedera

Schumacher, yang menjadi penasihat untuk Ferrari, berada di Budapest untuk Grand Prix Hungary apabila pemandu Ferrari, Felipe Massa, cedera parah selepas terkena spring ampaian pada pusingan kelayakan. Apabila ia menjadi jelas bahawa Massa tidak akan berlumba pada perlumbaan seterusnya di Valencia, Schumacher telah dipilih sebagai pengganti Massa[70] , dan pada 29 Julai 2009, Ferrari mengumumkan bahawa mereka telah memilih Schumacher untuk berlumba di Grand Prix Eropah dan seterusnya sehingga Massa dapat berlumba lagi. Schumacher menguji kereta F2007 yang telah diubahsuai untuk mempersiapkan diri kerana beliau tidak dapat menguji kereta 2009 kerana terdapat sekatan ujian. Ferrari merayu kepada FIA untuk membenarkan Schumacher menguji kereta spesifikasi musim 2009 tetapi pasukan Williams, Red Bull dan Toro Rosso menentang ujian ini.[71][72] Bagaimanapun, beliau terpaksa meninggalkan hasratnya untuk menjadi pengganti Massa kerana Schumacher mengalami kecederaan leher yang serius selepas mengalami kemalangan motosikal pada awal tahun tersebut. Tempat Massa itu diisi oleh Luca Badoer dan Giancarlo Fisichella.

Mercedes (2010–2012)

Pada 23 Disember 2009, ia telah diumumkan Schumacher akan kembali ke Formula Satu pada musim 2010, dan menjadi rakan sepasukan Nico Rosberg di pasukan Mercedes GP yang baru.[7] Pada 16 November, Mercedes telah mengambil alih pasukan Brawn GP. Schumacher menyatakan bahawa persediaan untuk menggantikan Massa yang cedera untuk Ferrari telah mencetuskan minat dalam F1, di mana ia digabungkan dengan peluang untuk memenuhi cita-cita lamanya untuk memandu bersama Mercedes dan akan bekerja sekali lagi dengan ketua pasukan, Ross Brawn, yang menyebabkan Schumacher untuk menerima tawaran tersebut apabila beliau cergas untuk memandu.[7][73] Selepas menjalani ujian latihan intensif, ia telah disahkan bahawa kecederaan leher yang telah menghalang beliau untuk memandu bersama Ferrari pada tahun sebelumnya telah sembuh sepenuhnya.[7]

2010: Kembali ke Formula Satu

Schumacher di Grand Prix Malaysia 2010

Schumacher memandu kereta Mercedes 2010, iaitu Mercedes MGP W01, pada sebuah sesi ujian rasmi pada 2 Februari 2010 di Valencia. Beliau mendapat tempat keenam pada perlumbaan pembuka tirai musim 2010 di Bahrain. Dua minggu kemudian di Australia, beliau hanya mampu mendapat tempat kesepuluh. Di Grand Prix Malaysia, Schumacher bersara awal disebabkan nat roda yang rosak. Schumacher bermula dari tempat kesembilan di Grand Prix China, dan menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh selepas dipintas oleh beberapa pemandu lain dalam keadaan hujan.

Di Grand Prix Sepanyol, Mercedes menaik taraf kereta mereka dengan aerodinamik yang diperkemaskini. Schumacher melayakkan diri di hadapan Rosberg pada pusingan kelayakan dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas mempertahankan kedudukannya daripada juara dunia bertahan, Jenson Button selepas perhentian pit yang pertama. Di Grand Prix Monaco, Schumacher bermula di tempat keenam dan pada hari perlumbaan, beliau memintas Fernando Alonso pada selekoh terakhir perlumbaan apabila kereta keselamatan kembali ke pit. Bagaimanapun, beliau diberikan penalti masa 20 saat selepas perlumbaan oleh steward perlumbaan, dan menjatuhkannya ke tempat ke-12 dan gagal mendapat sebarang mata.

Schumacher di Grand Prix Abu Dhabi.

Di Turki, Schumacher beraksi cemerlang pada pusingan kelayakan. Beliau melayakkan diri ke tempat kelima, di hadapan rakan sepasukan, Rosberg. Schumacher menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keenam, lalu mendapat keputusan terbaik sejak beliau kembali ke Formula Satu. Walau bagaimanapun di Grand Prix Eropah, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat ke-15. Di Hungary, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat kesebelas, dan didapati bersalah selepas memandu secara berbahaya, selepas gagal mempertahankan kedudukan kesepuluh beliau daripada Rubens Barrichello. Akibatnya, beliau menerima penalti sepuluh-petak kedudukan untuk perlumbaan berikutnya di Grand Prix Belgium, di mana beliau menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, walaupun bermula dari tempat ke-21 selepas menerima penalti.


Di Grand Prix Itali, Schumacher gagal memasuki Q3, dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Dua minggu kemudian di Grand Prix Singapura, Schumacher mendapat tempat ke-13 selepas berlanggar dengan Nick Heidfeld pada pusingan ke-36, dan menyebabkan Heidfeld terkeluar daripada perlumbaan. Di Grand Prix Jepun, Schumacher mendapat tempat keenam, sebelum mendapat tempat keempat dan ketujuh pada dua perlumbaan seterusnya di Korea dan Brazil. Di Abu Dhabi, Schumacher terlibat dalam sebuah kemalangan pada pusingan pertama dan gagal untuk menamatkan perlumbaan.

Ini adalah musim pertama di mana Schumacher menamatkan sebuah musim tanpa memenangi sebarang kemenangan, mendapat petak pertama, podium atau pusingan terpantas. Beliau menamatkan musim di tempat kesembilan dengan 72 mata.

2011

Schumacher di Grand Prix Malaysia 2011

Selepas gagal mendapat mata di Grand Prix Australia, Schumacher mendapat tempat kesembilan di Malaysia, manakala rakan sepasukan, Rosberg, mendapat tempat ke-12. Masalah DRS di China menyebabkan Schumacher hanya mendapat tempat 14 pada pusingan kelayakan, namun beliau bertarung sehingga ke tempat kelapan dalam perlumbaan tersebut. Beliau mendapat tempat keenam di Sepanyol, manakala di Grand Prix Kanada, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Schumacher mendapat tempat keempat di Grand Prix Kanada.

Di Valencia, beliau berlanggar dengan Vitaly Petrov ketika beliau keluar daripada lorong pit, dan menyebabkan sayap depan Schumacher sendiri patah, dan menyebabkan beliau terpaksa kembali ke pit pada pusingan berikutnya. Peristiwa ini menyebabkan beliau gagal untuk mendapat mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-17. Di Grand Prix British, tayar depan Schumacher terkunci ketika beliau berada di belakang Kamui Kobayashi. Schumacher sekali lagi menyebabkan sayap depan keretanya patah. Selepas menggantikan sayap depan keretanya, Schumacher dikenakan penalti berhenti-dan pergi kerana menyebabkan kejadian tersebut. Walaupun beliau bekerja keras untuk menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Beliau mendapat tempat kelapan di Jerman, dan bersara di Hungary kerana mengalami kegagalan kotak gear.

Di Grand Prix Belgium, beliau menetapkan masa pusingan terpantas pada sesi latihan bebas pertama, namun disebabkan roda yang longgar pada pusingan kelayakan, beliau terpaksa memulakan perlumbaan di tempat terakhir. Walau bagaimanapun, Schumacher beraksi dengan cemerlang selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Schumacher meneruskan prestasi yang cemerlang ini di Grand Prix Itali setelah bermula dari tempat kelapan dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Selepas gagal menamatkan perlumbaan di Singapura selepas berlanggar dengan Sergio Pérez, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat keenam di Grand Prix Jepun, setelah mendahului tiga pusingan pada perlumbaan tersebut, dan merupakan kali pertama beliau berbuat demikian sejak Grand Prix Jepun 2006.[74] Dengan berbuat demikian, beliau menjadi pemandu tertua untuk mendahului sebuah perlumbaan sejak Jack Brabham pada tahun 1970.

Di Korea, Schumacher memulakan perlumbaan di tempat ke-12. Namun pada hari perlumbaan, beliau dilanggar oleh Vitaly Petrov, dan menyebabkan beliau dan Petrov bersara. Di Grand Prix Abu Dhabi, Schumacher mendapat tempat kelapan pada pusingan kelayakan dan bermula dengan baik selepas memotong dua buah kereta lain selepas beberapa selekoh. Di Brazil, Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat ke-15. Schumacher menamatkan musim di tempat kelapan dalam Kejuaraan Pemandu Dunia dengan 76 mata; dan keputusan terbaiknya ialah tempat keempat di Grand Prix Kanada.

2012

Schumacher sekali lagi memandu untuk Mercedes AMG untuk musim 2012, dan menjadi rakan sepasukan Nico Rosberg.[75]

Di Grand Prix Australia, Schumacher bermula dari tempat keempat.[76] Beliau berjuang hingga ke tempat ketiga pada awal perlumbaan, namun terpaksa bersara dari perlumbaan disebabkan kegagalan kotak gear pada pusingan kesebelas.[77] Di Malaysia, Schumacher bermula dari tempat ketiga,[78] namun hanya berjaya mendapat satu mata selepas dilanggar dari belakang pada pusingan pertama oleh Romain Grosjean. Schumacher memulakan perlumbaan di barisan hadapan di Grand Prix China selepas penalti satu-petak kedudukan dikenakan untuk Lewis Hamilton; dan Schumacher menduduki barisan petak hadapan bersama rakan sepasukan, Nico Rosberg, yang mendapat petak pertama sulungnya - namun kesilapan seorang mekanik semasa perhentian pit pertama Schumacher menyebabkan beliau bersara pada pusingan ke-13 disebabkan roda yang longgar.

Schumacher semasa pusingan kelayakan di Monaco.

Schumacher mengalami masalah DRS pada pusingan kelayakan di Bahrain, yang diburukkan lagi oleh penalti untuk pertukaran kotak gear. Beliau bermula dari tempat ke-23, dan menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh. Schumacher terpaksa bersara sekali lagi di Barcelona, dan menerima penalti lima-petak kedudukan untuk perlumbaan di Monaco selepas berlanggar dengan Bruno Senna. Schumacher mendapat petak pertama di Monaco; namun, disebabkan penalti yang diberikan kepada beliau, Schumacher terpaksa bermula dari tempat keenam. Pada awal perlumbaan, Schumacher dilanggar oleh Romain Grosjean, sebelum bersara dari perlumbaan disebabkan tekanan bahan api.

Di Grand Prix Kanada, beliau bermula dari tempat kesembilan. Beliau bersara dari perlumbaan selepas perhentian pit kedua kerana flap DRS kereta beliau tersekat. Di Grand Prix Eropah, Schumacher bermula dari tempat ke-12, dan mendapat podium pertamanya sejak tahun 2006 dengan mendapat tempat ketiga.

Beliau menetapkan pusingan terpantas perlumbaan di Grand Prix Jerman. Ia merupakan pusingan terpantas yang ke-77 kerjayanya.[79] Di Grand Prix Belgium Schumacher menjadi pemandu Formula Satu yang kedua untuk berlumba dalam 300 Grand Prix. Beliau memakai sebuah topi keledar khas yang berwarna platinum. Beliau menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ketujuh.

Pada 28 September 2012, ia telah diumumkan bahawa Lewis Hamilton akan menggantikan Schumacher di pasukan Mercedes untuk musim 2013 dan seterusnya, selepas menandatangani perjanjian tiga tahun dengan pasukan tersebut.[80]

Schumacher di Grand Prix Amerika Syarikat 2012.

Pada 4 Oktober 2012, Schumacher mengumumkan bahawa beliau akan bersara buat kali kedua selepas musim 2012 berakhir.[81] Pada minggu berikutnya, beliau berkata: "Ada beberapa kali di mana saya tidak mahu berurus dalam Formula Satu atau membuat persediaan untuk Grand Prix seterusnya."[82]

Pada 25 November 2012, beliau bertanding dalam Grand Prix terakhirnya di Brazil. Beliau menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ketujuh, dan menamatkan musim di tangga ke-13 dalam Kejuaraan Pemandu Dunia.

Rujukan

WikiPedia: Michael_Schumacher http://www.theroar.com.au/2009/12/24/schumacher-re... http://formula1.about.com/od/teams/p/Ferrari.htm http://www.artwoo.com/article/michael-schumacher http://www.autoracing.com/formula-1/drivers/michae... http://atlasf1.autosport.com/99/bra/preview/kalb.h... http://f1greatestdrivers.autosport.com/?driver=2 http://www.autosport.com/news/grapevine.php/id/598... http://www.autosport.com/news/report.php/id/111979 http://www.autosport.com/news/report.php/id/55462 http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601100&si...